Thursday, December 6, 2012

SECUKUP RASA, BERULANG KALI

Andai masakan tiada garam, pasti tawar jadinya. Begitu jua hidup ini, andai tiada ujian, maka tiada seri dan maknanya. Pelangi hanya tiba selepas hujan dan guruh mendatangi.

Ujian dan dugaan pasti akan tiba. Dari saat kita dilahirkan hingga bertemu Ilahi. Cuma sahaja kita tidak pasti dengan tepat bila masa dan ketikanya ia akan menjelma. Pastinya, ia akan datang jua. Saat kita bersedia mahupun tidak. Saat itu kita tidak mampu mengelak. Tiada ruang untuk melarikan diri, tiada masa untuk berpatah balik. Ketahuilah bahawa lari daripada masalah itu hanya mengundang masalah lainnya, ibarat jatuh ditimpa tangga.

"BERANI". Ya. Itu 'keyword'nya. Berani hadapi kenyataan. Berani mendepani ujian. Berani mengakui kesilapan. Berani membetulkan kembali keadaan. Segalanya bermula dengan rasa berani.

Kadangkala, kita sering dihantui rasa takut andai melakukan kesilapan. Bagaimana kita sudah tahu kita akan silap sebelum melakukannya? Bagaimana kegagalan itu lebih dahulu tiba sebelum berusaha? Ternyata kita telah lebih dahulu gagal sebelum istilah 'gagal' itu jelma.

Seorang doktor pakar bermula dengan kenal apa itu paracetamol . Seorang  pelumba kereta bermula dengan mengenal apa itu clutch. Seorang imam bermula dengan mengenal apa itu 'alif, ba, ta'. Segala sesuatu itu ada mulanya melainkan kejadian Tuhan Yang Maha Esa. Seandainya mereka semua beralah sebelum berusaha, pasti hari ini tiada Dr.Muhaya. Pasti hari ini tiada insan bergelar Mac Laren. Pasti hari ini tiada jemaah di masjid dan surau kerana masing-masing tidak sanggup menjadi imam dan solat sendirian.

Maka berani itu harus ada. Berani yang paling hebat adalah BERANI UNTUK GAGAL. Setiap kejayaan itu pasti bermula dengan kegagalan. Dan tiada kegagalan yang kekal selamanya selagi jasad masih berkandung nyawa.

Madu hanya datang selepas lebah terbang beribu batu. Pelangi hanya tiba selepas hujan dan guruh melanda. Mentari hanya bersinar selepas berlalunya malam gelita. Kejayaan begitu jua. Ia jelma hanya selepas dugaan itu tiba. Hanya kita sahaja yang sanggup mahupun tidak bersabar menanti kehadirannya.

Usah pernah rasa putus asa kerana pastinya dugaan yang tiba itu hanya secukup rasa. Kita pasti mampu mengharunginya. Percayalah pada janji Tuhan yang tidak akan memberikan ujian andai kita tidak mampu menhadapinya. Mendung itu pasti takkan selamanya...


p/s: Usah lupa untuk berusaha, berdoa dan bertawakal mengharunginya. Moga-moga usaha kita itu mendapat berkat daripadaNya..:)