Alangkah seronoknya rasa hati andai segala yang dihajati akan terlaksana tanpa ada penghalangnya. Namun, itu hanya rangkap kata yang khas tercipta untuk penghuni syurga, bukan pengembara dunia. Sedang aku masih pengembara itu.
Hari itu kugagahkan kaki bersama keluarga tercinta melangkah maju setapak ke hadapan cuba melangkahi satu denai kehidupan. Tapi ternyata denai itu tak semudah itu diredahi. Ada duri yang melekat di pertengahan jalan yang terpaksa membuatku duduk sebentar untuk mencabutnya. Sakitnya ku rasa hingga ke lubuk hati yang dalam namun cuba ku gagahi untuk mendapatkan 'Sang Cenderawasih' yang berselindung di sebalik denai itu. Cenderawasih yang ku kejar sekian lama.
MASA YANG BERLALU
Masa terus berlalu tatkala aku cuba mencabut duri itu. Kadangkala timbul di benak hati ini mengapa perlu aku melalui denai berduri itu sedang ada denai yang lapang menanti dengan 'Sang Cenderawasih' yang memukau jua. Adakah perlu aku menunggu di persimpangan berduri hingga ia keluar sendiri? pastinya lama ingin menanti duri itu mati dimamah musim panas dan mengering hingga menampakkan unggas yang ku kejar awalnya tadi. 2 musim lamanya.
KUATKAH AKU?
Kadang hati ini menerjah dengan beribu soalan. Soalan yang menjadi pelanggan setia adalah 'cukup kuatkah diriku untuk mengharungi denai berduri itu?' Rasa risau & bimbang turut sama menempa sebagai pakej tambahan pada pertanyaan ini. Mungkin sahaja aku bukan insan yang layak mendapatkan Cenderawasih Taman Berduri itu. Mungkin ada insan lain yag lebih sesuai. Mungkin dan mungkin lagi. Perlukah aku yang menjadi putera pembebas Unggas Kayangan itu? Aku keliru.
TEKANAN PENONTON
Ramai penonton yang berkata aku tidak layak mencapai 'Sang Cenderawasih'. Semuanya gara-gara pakaianku yang biasa sahaja. Tanpa ada kelengkapan baju besi yang mahal beserta senjata. Aku terus dipinta menyiapkan kelengkapan pertahanan yang mantap sebelum bergerak ke denai berduri itu. Adakah perlu? Adakah wajib bagiku menyediakan Kelengkapan yang paling canggih dan mahal utntuk ke denai itu? Tidak cukupkah dengan sepasang baju besi yang biasa.
UNDUR DIRI.
Mungkin itu satu daripada jalannya. Mungkin jua tidak. Bisa sahaja aku berundur daripada denai berduri itu mencari denai yang hanya berkemucup mungkin, yang sakitnya serta masa mencabutny tidak terlalu lama. Atau mungkin aku harus sabar menanti Unggas di Taman Larangan itu. Bak kata orang ' Yang susah dapat, susah nk lepas'. Namun hati ini rasa terlalu lemah tak berdaya. Rasa ingin sahaja singgah di denai lain yang berdekatan.
ISTIKHARAH
Pilihan. Itu ertinya istikharah. Semoga aku diberi petunjuk oleh Allah.Semoga Dia Yang Maha Melihat dapat melorongkan aku ke jalan yang terbaik. Kerana aku masih dalam kekeliruan yang nyata. Dalam misi mencari cenderawasih.Ternyata langit tak selalu cerah seperti yang didamba..
appleboy 8821
No comments:
Post a Comment