Sunday, October 21, 2012

TANGGUH PERNIKAHAN??

Pada mulanya sukar untuk aku menerima jawapan daripada neneknya yang mewakili pihak perempuan. Walau cuba kupujuk hati yang sayu tika itu dengan ayat keramat "pasti ada hikmahny", ternyata masih terasa pedih calar-calar yang mendatangi hati.

Fikiran ini ligat mencari apakah sebabnya mereka bertindak sedemikian rupa. Apakah sengaja ingin memisahkan aku daripada dia? Adakah ingin menguji kesetiaanku?Apakah ingin aku menyediakan rumah dan kereta terlebih dahulu sebelum berkahwin? Seribu satu persoalan bermain-main di kotak kecil mindaku hingga kurasa tak mampu memikulnya.

Aku Tidak Sendiri
Dalam kekusutan itu, aku tidak sendirian. Dia juga turut merasai apa yang kurasa. Deraian air mata membasahi pipinya yang mulus dikala jawapan yang sama jua yang terpacul dari mulut ayah & ibunya, "tangguhlah dulu". Kami sama-sama buntu mencari jawapan disebalik tindakan mereka. Kadang kurasakan diri ini tidak serasi buatnya yang gaji lebih tinggi serta sedang melanjutkan pelajaran ke tahap Sarjana.

Namun, dialah yang memujuk diri ini agar sentiasa bersabar. Insan yang menyokongku dikala dirinya jua turut terasa lemahnya, terima kasih buat dia. Tika itu aku mengundurkan diri seketika. Memasuki 'gua peribadiku' untuk membuka kembali kekusutan yang ada.

Meletakkan Gelas yang Dipegang
Memang tidak sukar bagi kita memegang segelas air. Tapi selama mana kita mampu memegangnya?10 minit? 20 minit? 1 jam? Lama-kelamaan tangan kita akan terasa lenguh. Jari jemari pula terasa kebasnya. Begitu jualah dengan hidup ini. Tak ubah seperti memegang segelas air.

Masalah harian kita diibaratkan seperti segelas air. Andai difikirkan terlalu lama, akal kita akan jadi lesu & buntu. Hati pula asyik gundah gulana memikirkan masalah yang ada. Badan pula mejadi lemah tak bermaya. Ambillah masa untuk meletakkan masalah kita di atas 'meja'. Lakukanlah perkara-perkara yang kita suka seperti bersukan, memancing, 'shopping' dan sebagainya. Asalkan sahaja ia boleh melupakan sebentar kepada masalah tadi. Itulah yang kulakukan sebelum kembali mengangkat 'gelas' tadi.

Motivasi
Saat-saat begini memang sepatutnya aku mencari motivasi. Kebetulan diri ini telah mendaftar sebagai peserta kursus pra perkahwinan pada hujung minggu ini. "Mungkin inilah yang aku perlukan" getus hati kecilku tika itu. Ia baru sahaja berakhir petang tadi. Walaupun pada asalnya hanya suka-suka ingin menemani rakan yang ingin bernikah hujung tahun ini. Tapi ternyata, itulah qadar yang tertulis buatku.

Banyak aspek yang disentuh oleh para penceramah dalam kursus tersebut. Daripada bab talak hinggalah persediaan kewangan keluarga. Rata-rata mereka menyatakan bahawa perkahwinan dewasa ini tidak bertahan lama. Dasarnya kerana tiada ilmu yang cukup untuk melayarkan bahtera perkahwinan. Sebab itu, setiap pasangan diwajibkan untuk berkursus terlebih dahulu. Termasuk diriku.

Hikmah
Ku teliti tiap butir kata para penyampai di dalam kursus tersebut. Ada kalam-kalam yang berbekas dihati ini, "Andai konflik sebelum berkahwin pun kita tak dapat atasi, apatah lagi lepas kahwin?". "Perkahwinan itu bukan hanya antara kita dan pasangan, tapi seluruh keluarganya".

Ya. Selama ini aku hanya berinteraksi dengan dia. Tidak pernah bersua dan berbual-bual dengan ibu bapanyanya. Maka, wajarlah bagi penjaga 'mawar berduri' itu menghalangku. Mereka ingin pastikan bahawa aku benar-benar layak untuk memetik 'bunga termahal lagi berharga' itu.

Kini aku mengerti. Aku harus menjadi 'pemetik mawar berduri' yang lengkap dengan alatan yang perlu. Mungkin tempoh yang diberi cukup buatku menghasilkan 'kelengkapan itu. Tambahan lagi, ia menyediakan waktu buatku menimba ilmu sebanyak-banyaknya tentang 'wajah sebenar' sebuah perkahwinan. Melatih setia juga boleh dimasukkan sebagai hikmah. Atau mungkin sahaja Allah mentaqdirkan yang lain buatku. Namun, akan kucuba untuk istiqomah setelah berjanji dengannya.

Kesimpulannya, percayalah bahawa semua yang berlaku pada kita pasti ada hikmahnya. Kadang-kala ia tidak seperti yang kita harapkan kerana belum tentu yang kita sangkakan baik itu baik buat kita. Boleh jadi ia sebaliknya. Kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Mintalah padaNya selagi dirimu bergelar HAMBA.






No comments:

Post a Comment