Monday, May 27, 2013

Dua Minggu Itu Untuk Siapa??




Cuti penggal persekolahan bermula kini..sebenarlah telah bermula pada hari Jumaat yang lepas. Keseronokan cuti itu bukan sahaja dirasai oleh pelajar, bahkan guru-guru sekolah jua. Ibu bapa pun turut serta merasai bahangnya, ingin menggunakan kesempatan yang ada untuk merapatkan ukhuwah bersama anak-anak.

Pasti ramai yang mengambil cuti untuk pulang ke kampung untuk melawat datuk dan nenek yang telah lama tak bersua. Tidak kurang juga yang makan angin di luar negara. Dan yang lebih baik, ada yang menggunakan peluang yang ada untuk pergi menunaikan umrah. TAHNIAH!!

CITA RASA YANG BERBEZA

Setiap orang punya cara tersendiri untuk meraikan cuti yang ada. Mungkin ada yang hanya duduk di rumah. Tidak mengapa, menolong ibu bapa di rumah pun suatu perkara yang berfaedah. Terserah pada kita untuk memanfaatkannya untuk apa dan siapa.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas ra, Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda:


“Dua nikmat yang ramai  manusia tertipu, nikmat sihat dan waktu lapang.”
(Riwayat Bukhari).



UNTUK SIAPA
Mungkin kelihatan agak pelik bunyinya tajuk artikel ini. Untuk siapa kita abdikan masa yang kita ada, terutamanya waktu lapang ini?? Letakkan pada tempat 'SIAPA' itu Tuhan yang telah menciptakan kita, ALLAH.

Tidak salah bagi seorang ayah mahupun ibu yang ingin meluangkan masa yang ada bersama-sama anak-anak, tapi niatkannya kerana Allah. Ataupun seorang sahabat yang ingin beriadah mahupun 'berehlah' bersama teman-teman, jangan lupa niatkan kerana Allah. Niatkan segala pekerjaan yang kita lakukan kerana Allah dan hanya untuk Dia. Pastinya masa yang berisi itu akan menjadi 'saat yang berpahala'

Usah biarkan masa itu berlalu pergi. Rancanglah untuk mengisinya. Masa itu ibarat kertas lukisan yang kosong, kita yang harus mencorakkannya. Sebelum meletakkan warna di atasnya, kita harus merancang dan berfikir sejenak agar corak yang dihasilkan nanti akan menjadi karya yang indah mempersona, bukan sekadar layak menjadi kertas bungkusan nasi lemak.

PILIH ANTARA DUA
Hidup ini tidak lari daripada dua perkara, iaitu dosa dan pahala. Kita sebagai manusia diberi pilihan untuk mengambil yang mana. Perlu diingat, perkara berpahala itu meraih redha Ilahi dan sebaik-baik tempat insan yang diredhaiNya adalah syurga . Begitu jua sebaliknya. Segalanya atas kehendak Yang Maha Kuasa. 

                                  Semoga Syurga Pilihan Kita dan Bukannya Neraka

p/s: Buat para guru, cuti pun cuti juga, kertas periksa jangan dilupa. Untuk pelajar pula, belajarlah untuk kehidupan, bukan untuk peperiksaan semata. rajin2 buka buku..;)

Dan tak lupa juga buat yang kawen mse cuti ahad haritu, maaf tak dapat hadir semua. semoga berbahagia hingga ke syurga: Basir & ika, Syida & pasangan, Dayah & pasangan.

 cuti jangan main je..;)



Thursday, May 23, 2013

AkU InSaN BeRDoSa

Akulah insan itu. Insan yang berdosa. Penuh hina. Penuh noda. Hingga terasa hidupku ini penuh dusta. Tiada baki yang tersisa.

Malu
Rasa itu timbul dikala ada yang tahu sedang diri ini alpa ada Yang Sentiasa Tahu apa yang berlaku. Bersyukur aku ke hadrat Ilahi kerana memberi peringatan. Aku telah lama tersasar jalan. Namun, Dikau hadir memberi laluan. Terasa diri ini disayangi. Terima kasih Tuhan. Pimpinlah tangan ini menggapai redhamu.

Siapa daku di 'mata'-Mu?
Hati kerdil ini sentiasa tertanya. Di mana letaknya diriku di 'hati'Mu. Sering terfikir bagaimana kedudukanku pada pandanganMu. Engkau lebih tahu. Engkau sentiasa melihat daku. JauhMu sebenarnya lebih dekat dari urat nadiku sendiri. Tiada yang mampu kuselindung dariMu. Sesungguhnya Engkau lebih tahu.

Harap
Hati ini penuh harap. Penuh rasa. Penuh azam. Ingin sekali aku berada di sampingMu. Tapi terasa ia sebagai hanya impian semata. Diri ini terlalu jijik. Terlalu hina. Terlalu rendah taraf & darjat dek kerana dosa semalam. Ia akan terus membayangi diri hingga taubatku Kau terima.Layakkah aku meminta?? Mengemis rasa dari Tuhan Yang Maha Esa. Menagih ampunan dari Tuhan Yang Maha Kuasa.





Akhir Rasa
Semoga diri ini sentiasa dalam tarbiyahMu. Terpimpin ke jalan redhaMu. Terbimbing ke arah taat akan Mu..
Amiiin.


Saturday, March 23, 2013

NOTA BUAT BAKAL MAKMUMKU

SEMPURNA
Istilah yang paling semua orang inginkan dalam semua perkara. Namun, hakikatnya tiada yang sempurna di dalam dunia ini melainkan kesempurnaan itu hanya bagi Allah. Jika tidak, kita akan hilang rasa kebergantungan padaNya.

ZAHIRKU??
Aku bukanlah insan yang sempurna dari segi ilmu dan rohaniah. Lahiriah apatah lagi. Panggilan 'OKU' telah menjadi sandaran nama bagiku. Terkadang timbul rasa sedih dihati dikala perkara yang suka kulakukan dahulu seperti bersilat dan 'skipping' berada diluar kemampuanku buat masa ini. Rupa?? ramai kanak2 takut melihatku dan memandangku janggal. Aku juga kerap termenung dihadapan 'wajah' baru ini.

ILMU
Intelekmu tak sehebatmu apatah lagi dalam bidang agama. Walaupun title 'ustaz' telah berada dibahuku sejak awal alam pekerjaanku kini, namun ternyata diri ini masih kurasa dalam belenggu 'jahiliyah'. Banyak persoalan asas yang kadang kala tak mampu ku jawab beserta dalil daripada petikan quran n hadis. Paling2 hanya mampu mengikut kata2 Ustaz Azhar Idrus di youtube yang kadangkala menjadi santapan di waktu santai.

ROHANI
Terasa kadang jiwa ini terlalu jauh dari Tuhan. Kerja, keluarga dan dunia seolah2 menjadi hijab antara aku dan Dia. Kalamnya jarang bersinggah dibibir ini apatah lagi untuk hati menatapi tiap maksudnya. Amalan salafussoleh jarang ku ambil. Dikala peluang Dia dekat untuk mengabulkan doa hamba2Nya tiba, sering aku lepaskan semata-mata menurut hawa nafsu lenaku.

APA YANG ADA PADAKU?
Ternyata setelah kuteliti aku tak punya apa. Pangkat dan harta jauh ketinggalan dibelakangmu. Akhlak dan peribadi jauh tersasar dari persepsimu. Mengapa perlu kunyatakan segala kelemahanku?? Bodohkah daku??
Biarlah jika ada yang berkata begitu. Cuma, aku tidak mahu kau rasa diperbodohkan olehku. Aku tidak mahu kau rasa tertipu dengan diriku.

PINTAKU
Namun, disebalik segala kekurangan itu ada satu yang ingin kupinta darimu. Tegurlah daku. Nasihatilah daku. Betulkanlah daku. Seandainya perilakuku jauh tersasar dari syariat Ilahi serta sunnah nabawi. Itu hakmu sebagai makmumku. Dan seandainya kau rasa tidak mampu, aku relakan dirimu 'mufarraqah' kerana ku tak mahu kau turut sama dipersalahkan denganku.


 ikhlas dari
IMAMMU...
 

Saturday, March 2, 2013

Dugaan Rasa

Tempoh taaruf itu penuh dengan ujian rasa. Hati ini terasa terlalu gembira sekali hingga kelibat hari yang dinanti-nanti seringkali melintas di hadapan kotak maya. Kadang-kala, bukan selalu.

Namun, dalam suka setiap hari itu ada suatu rasa yang merisaukan. Langit takkan selalunya cerah. Gula takkan manis sentiasa. Kadangkala ia bisa menjadi kelat mahupun pahit. Ibarat laut yang ada pasang-surutnya, begitu jua hidup manusia. Pasti ada duka.

Bersediakah aku untuk semua itu? Tsunami rasa pernah melanda dulu. Aku harap ia takkan berulang lagi. Namun, diri ini harus bijak membaca 'cuaca perhubungan' agar gelombang-gelombang ombak yang menghempas pesisir hati tidak membawa segala rasa itu pergi. Andai dibiar, gusar tiada apa yang tersisa lagi.

Cemburu??
Kadangkala ia jelma. Seaakan-akan menguji hati ini. Melaihat ada jejaka lain yang cuba menghampirinya. Namun, rasa itu harus berpandu dan tidak dibiar melulu. Perlu difikir kembali untuk apa rasa cemburu itu. Wajar mahupun tidak. Andai tidak, biarlah ianya pergi bersama terbenamnya sang mentari. Pasti ada sinar baru untuk hari esok.

Setia??
Ya. tempoh ini untuk menguji kesetiaan. Sejauh mana rasa itu masih mampu dipertahankan walau badai ujian melanda. Andai dugaan sebelum pernikahan tak mampu ditempuh, bagaimana untuk tegak berdiri dikala taufan rumah tangga kan mendatang kelak? Sedangkan bukan seketika untuk bersama, tapi kontrak sepanjang hayat menjadi ikatannya. Inginkah dibiarkan ia putus begitu saja? Tentunya tidak. Mana mungkin ada pasangan yang ingin bernikah dengan niat perceraian di akhirnya..itu gila namanya!!

Cuba sedayanya...
Itulah yang termampu untuk kusimpulkan. Berusaha mencapai mampu. Walau hati ini pasti liku yang tersedia itu mencapai nilai ribu. Hanya doa yang mampu ku titipkan,

"Ya Allah,
andai benar dia untukku,
dekatkanlah hatinya dengan hatiku.
Namun, seandainya dia bukan milikku redhakan aku dengan ketentuanMu.

Ya Allah,
kau peliharalah dia untukku,
dan peliharalah daku untukknya,
dan peliharalah kami berdua dalam redhaMu..Amiin."


Thursday, December 6, 2012

SECUKUP RASA, BERULANG KALI

Andai masakan tiada garam, pasti tawar jadinya. Begitu jua hidup ini, andai tiada ujian, maka tiada seri dan maknanya. Pelangi hanya tiba selepas hujan dan guruh mendatangi.

Ujian dan dugaan pasti akan tiba. Dari saat kita dilahirkan hingga bertemu Ilahi. Cuma sahaja kita tidak pasti dengan tepat bila masa dan ketikanya ia akan menjelma. Pastinya, ia akan datang jua. Saat kita bersedia mahupun tidak. Saat itu kita tidak mampu mengelak. Tiada ruang untuk melarikan diri, tiada masa untuk berpatah balik. Ketahuilah bahawa lari daripada masalah itu hanya mengundang masalah lainnya, ibarat jatuh ditimpa tangga.

"BERANI". Ya. Itu 'keyword'nya. Berani hadapi kenyataan. Berani mendepani ujian. Berani mengakui kesilapan. Berani membetulkan kembali keadaan. Segalanya bermula dengan rasa berani.

Kadangkala, kita sering dihantui rasa takut andai melakukan kesilapan. Bagaimana kita sudah tahu kita akan silap sebelum melakukannya? Bagaimana kegagalan itu lebih dahulu tiba sebelum berusaha? Ternyata kita telah lebih dahulu gagal sebelum istilah 'gagal' itu jelma.

Seorang doktor pakar bermula dengan kenal apa itu paracetamol . Seorang  pelumba kereta bermula dengan mengenal apa itu clutch. Seorang imam bermula dengan mengenal apa itu 'alif, ba, ta'. Segala sesuatu itu ada mulanya melainkan kejadian Tuhan Yang Maha Esa. Seandainya mereka semua beralah sebelum berusaha, pasti hari ini tiada Dr.Muhaya. Pasti hari ini tiada insan bergelar Mac Laren. Pasti hari ini tiada jemaah di masjid dan surau kerana masing-masing tidak sanggup menjadi imam dan solat sendirian.

Maka berani itu harus ada. Berani yang paling hebat adalah BERANI UNTUK GAGAL. Setiap kejayaan itu pasti bermula dengan kegagalan. Dan tiada kegagalan yang kekal selamanya selagi jasad masih berkandung nyawa.

Madu hanya datang selepas lebah terbang beribu batu. Pelangi hanya tiba selepas hujan dan guruh melanda. Mentari hanya bersinar selepas berlalunya malam gelita. Kejayaan begitu jua. Ia jelma hanya selepas dugaan itu tiba. Hanya kita sahaja yang sanggup mahupun tidak bersabar menanti kehadirannya.

Usah pernah rasa putus asa kerana pastinya dugaan yang tiba itu hanya secukup rasa. Kita pasti mampu mengharunginya. Percayalah pada janji Tuhan yang tidak akan memberikan ujian andai kita tidak mampu menhadapinya. Mendung itu pasti takkan selamanya...


p/s: Usah lupa untuk berusaha, berdoa dan bertawakal mengharunginya. Moga-moga usaha kita itu mendapat berkat daripadaNya..:)




Sunday, October 21, 2012

TANGGUH PERNIKAHAN??

Pada mulanya sukar untuk aku menerima jawapan daripada neneknya yang mewakili pihak perempuan. Walau cuba kupujuk hati yang sayu tika itu dengan ayat keramat "pasti ada hikmahny", ternyata masih terasa pedih calar-calar yang mendatangi hati.

Fikiran ini ligat mencari apakah sebabnya mereka bertindak sedemikian rupa. Apakah sengaja ingin memisahkan aku daripada dia? Adakah ingin menguji kesetiaanku?Apakah ingin aku menyediakan rumah dan kereta terlebih dahulu sebelum berkahwin? Seribu satu persoalan bermain-main di kotak kecil mindaku hingga kurasa tak mampu memikulnya.

Aku Tidak Sendiri
Dalam kekusutan itu, aku tidak sendirian. Dia juga turut merasai apa yang kurasa. Deraian air mata membasahi pipinya yang mulus dikala jawapan yang sama jua yang terpacul dari mulut ayah & ibunya, "tangguhlah dulu". Kami sama-sama buntu mencari jawapan disebalik tindakan mereka. Kadang kurasakan diri ini tidak serasi buatnya yang gaji lebih tinggi serta sedang melanjutkan pelajaran ke tahap Sarjana.

Namun, dialah yang memujuk diri ini agar sentiasa bersabar. Insan yang menyokongku dikala dirinya jua turut terasa lemahnya, terima kasih buat dia. Tika itu aku mengundurkan diri seketika. Memasuki 'gua peribadiku' untuk membuka kembali kekusutan yang ada.

Meletakkan Gelas yang Dipegang
Memang tidak sukar bagi kita memegang segelas air. Tapi selama mana kita mampu memegangnya?10 minit? 20 minit? 1 jam? Lama-kelamaan tangan kita akan terasa lenguh. Jari jemari pula terasa kebasnya. Begitu jualah dengan hidup ini. Tak ubah seperti memegang segelas air.

Masalah harian kita diibaratkan seperti segelas air. Andai difikirkan terlalu lama, akal kita akan jadi lesu & buntu. Hati pula asyik gundah gulana memikirkan masalah yang ada. Badan pula mejadi lemah tak bermaya. Ambillah masa untuk meletakkan masalah kita di atas 'meja'. Lakukanlah perkara-perkara yang kita suka seperti bersukan, memancing, 'shopping' dan sebagainya. Asalkan sahaja ia boleh melupakan sebentar kepada masalah tadi. Itulah yang kulakukan sebelum kembali mengangkat 'gelas' tadi.

Motivasi
Saat-saat begini memang sepatutnya aku mencari motivasi. Kebetulan diri ini telah mendaftar sebagai peserta kursus pra perkahwinan pada hujung minggu ini. "Mungkin inilah yang aku perlukan" getus hati kecilku tika itu. Ia baru sahaja berakhir petang tadi. Walaupun pada asalnya hanya suka-suka ingin menemani rakan yang ingin bernikah hujung tahun ini. Tapi ternyata, itulah qadar yang tertulis buatku.

Banyak aspek yang disentuh oleh para penceramah dalam kursus tersebut. Daripada bab talak hinggalah persediaan kewangan keluarga. Rata-rata mereka menyatakan bahawa perkahwinan dewasa ini tidak bertahan lama. Dasarnya kerana tiada ilmu yang cukup untuk melayarkan bahtera perkahwinan. Sebab itu, setiap pasangan diwajibkan untuk berkursus terlebih dahulu. Termasuk diriku.

Hikmah
Ku teliti tiap butir kata para penyampai di dalam kursus tersebut. Ada kalam-kalam yang berbekas dihati ini, "Andai konflik sebelum berkahwin pun kita tak dapat atasi, apatah lagi lepas kahwin?". "Perkahwinan itu bukan hanya antara kita dan pasangan, tapi seluruh keluarganya".

Ya. Selama ini aku hanya berinteraksi dengan dia. Tidak pernah bersua dan berbual-bual dengan ibu bapanyanya. Maka, wajarlah bagi penjaga 'mawar berduri' itu menghalangku. Mereka ingin pastikan bahawa aku benar-benar layak untuk memetik 'bunga termahal lagi berharga' itu.

Kini aku mengerti. Aku harus menjadi 'pemetik mawar berduri' yang lengkap dengan alatan yang perlu. Mungkin tempoh yang diberi cukup buatku menghasilkan 'kelengkapan itu. Tambahan lagi, ia menyediakan waktu buatku menimba ilmu sebanyak-banyaknya tentang 'wajah sebenar' sebuah perkahwinan. Melatih setia juga boleh dimasukkan sebagai hikmah. Atau mungkin sahaja Allah mentaqdirkan yang lain buatku. Namun, akan kucuba untuk istiqomah setelah berjanji dengannya.

Kesimpulannya, percayalah bahawa semua yang berlaku pada kita pasti ada hikmahnya. Kadang-kala ia tidak seperti yang kita harapkan kerana belum tentu yang kita sangkakan baik itu baik buat kita. Boleh jadi ia sebaliknya. Kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Mintalah padaNya selagi dirimu bergelar HAMBA.






Sunday, October 14, 2012

Langit Tak Selalu Cerah

Alangkah seronoknya rasa hati andai segala yang dihajati akan terlaksana tanpa ada penghalangnya. Namun, itu hanya rangkap kata yang khas tercipta untuk penghuni syurga, bukan pengembara dunia. Sedang aku masih pengembara itu.

Hari itu kugagahkan kaki bersama keluarga tercinta melangkah maju setapak ke hadapan cuba melangkahi satu denai kehidupan. Tapi ternyata denai itu tak semudah itu diredahi. Ada duri yang melekat di pertengahan jalan yang terpaksa membuatku duduk sebentar untuk mencabutnya. Sakitnya ku rasa hingga ke lubuk hati yang dalam namun cuba ku gagahi untuk mendapatkan 'Sang Cenderawasih' yang berselindung di sebalik denai itu. Cenderawasih yang ku kejar sekian lama.

MASA YANG BERLALU
Masa terus berlalu tatkala aku cuba mencabut duri itu. Kadangkala timbul di benak hati ini mengapa perlu aku melalui denai berduri itu sedang ada denai yang lapang menanti dengan 'Sang Cenderawasih' yang memukau jua. Adakah perlu aku menunggu di persimpangan berduri hingga ia keluar sendiri? pastinya lama ingin menanti duri itu mati dimamah musim panas dan mengering hingga menampakkan unggas yang ku kejar awalnya tadi. 2 musim lamanya.

KUATKAH AKU?
Kadang hati ini menerjah dengan beribu soalan. Soalan yang menjadi pelanggan setia adalah 'cukup kuatkah diriku untuk mengharungi denai berduri itu?' Rasa risau & bimbang turut sama menempa sebagai pakej tambahan pada pertanyaan ini. Mungkin sahaja aku bukan insan yang layak mendapatkan Cenderawasih Taman Berduri itu. Mungkin ada insan lain yag lebih sesuai. Mungkin dan mungkin lagi. Perlukah aku yang menjadi putera pembebas Unggas Kayangan itu? Aku keliru.

TEKANAN PENONTON
Ramai penonton yang berkata aku tidak layak mencapai 'Sang Cenderawasih'. Semuanya gara-gara pakaianku yang biasa sahaja. Tanpa ada kelengkapan baju besi yang mahal beserta senjata. Aku terus dipinta menyiapkan kelengkapan pertahanan yang mantap sebelum bergerak ke denai berduri itu. Adakah perlu? Adakah wajib bagiku menyediakan Kelengkapan yang paling canggih dan mahal utntuk ke denai itu? Tidak cukupkah dengan sepasang baju besi yang biasa.

UNDUR DIRI.
Mungkin itu satu daripada jalannya. Mungkin jua tidak. Bisa sahaja aku berundur daripada denai berduri itu mencari denai yang hanya berkemucup mungkin, yang sakitnya serta masa mencabutny tidak terlalu lama. Atau mungkin aku harus sabar menanti Unggas di Taman Larangan itu. Bak kata orang ' Yang susah dapat, susah nk lepas'. Namun hati ini rasa terlalu lemah tak berdaya. Rasa ingin sahaja singgah di denai lain yang berdekatan.

ISTIKHARAH
Pilihan. Itu ertinya istikharah. Semoga aku diberi petunjuk oleh Allah.Semoga Dia Yang Maha Melihat dapat melorongkan aku ke jalan yang terbaik. Kerana aku masih dalam kekeliruan yang nyata. Dalam misi mencari cenderawasih.Ternyata langit tak selalu cerah seperti yang didamba..

appleboy 8821

Monday, April 9, 2012

Solat Depan Imam??

Lama rasanya tidak kujegah ke laman blog ku ini...telah banyak sawang & habuk yang bersarang,...untuk kembali menyegarkan laman ini eloklah rasanya diri ini memulakan dengan satu soalan teka-teki yang diberikan oleh abang sepupuku semasa kenduri kahmin sepupu kami Ahad lepas...soalan yang mudah namun mampu membuatkan litar mindaku bergerak pantas...

BILA & DI MANAKAH KITA BOLEH SOLAT DI HADAPAN IMAM???

menjadi kebiasaan kita untuk solat dihadapan imam...sebab perkataan imam itu pun sendiri datang daripada perkataan 'amama' yang bermaksud hadapan...namun ada ketika dan tempatnya kita boleh berada dihadapan imam dalam solat berjemaah...

BILA??
hanya apabila kita telah tidak mampu solat dengan menggunakan hati...bermakna telah berpisah jasad dari tubuh kita..di saat itulah kita akan dimandikan, kemudian dikafankan dan akhirnya disolatkan sebelum dikebumikan....kita hanya mampu melihat dari jauh..sanak saudara serta teman2 datang berkunjung menyedekahkan doa dan menyolatkan jenazah kita...pada saat ini terputuslah segala amalan kita...kita xmampu lagi mengumpul bekalan untuk perjalanan akhirat kita melainkan dengan doa & amalan anak solah yg kita didik, ilmu yang bermanfaat selagimana diamalkan dan sedekah jariah kita.....
ayuh rebut peluang yang masih ada sebelum mencelakakan diri disaat kebangkitan di mahsyar nanti.

DI MANA???
Satu-satunya tempat yang membolehkan kita berada di hadapan imam hanya apabila kita solat dihadapan Kaabah, arah kiblat umat Islam...bagi mereka yang bukan Islam, harus difahami bahawa umat Islam sebenarnya bukanlah menyembah Kaabah...ia hanya sebagai tanda arah sahaja..seandainya Kaabah itu dialihkan ke KLCC sekalipun kami harus tetap solat menghadap ke arah tapak Kaabah yang asal...
kembali kepada persoalan tadi, mungkin ada yang masih tertanya2...baiklah, katan imam berada di jarum 12 ketika solat manakala kedudukan kita pula di jarum 6...itulah yang dikatakan solat dihadapan imam...itulah saat yang harus kita rebut untuk sama2 solat di pusat penumpuan arah kiblat kita semua...

saat yang ku nanti-nantikan dalam hidup ini...

P/s: kredit untuk Abang sepupuku Ustaz Ridhuan Nahar yang mengajukan soalan ini...tahniah juga yang berjaya menjawab soalan ini dengan tepat di laman FB ku...

Thursday, May 12, 2011

Cinta pun boleh 'upgrade'???


Itulah kata2 yang terpacul di lubuk hatiku dalam nada sedikit janggal semasa membaca artikel ust.Pahrol Juoi yang merupakan sebahagian daripada isi majalah solusi edisi 31..namun itulah yang mendorong diri ini untuk membacanya hingga ke penghujung penceritaan..ternyata isinya amat mendalam menyelusuri dasar hati..

Selama ini ramai di antara kita yang berfikir bahawa rasa cinta kepada pasangan hingga sanggup berbuat apa sahaja itulah cinta yang tertinggi bagi 2 pasangan yang sedang bercinta..contohnya rasa cinta seorang isteri yang sanggup menghabiskan segala keringatnya untuk memasak, menggosok baju suami dan suami yang menghadiahkan barang kemas semasa ulangtahun perkahwinan serta ucapan2 romantis setiap hari..namun itu semua masih belum cukup untuk mencapai tahap cinta tertinggi..di manakah kurangannya???

Kekurangannya adalah tiadanya cinta yang dipandu kepada Pemberi Cinta..yang menyemai rasa cinta kepada dua pasangan..rasa yang sama yang pernah singgah di lubuk hati Adam a.s dan Hawa..kita terlalu asyik dengan pemberianNya dengan melupakan pemberinya..ibarat kacang lupakan penanamnya..

Alangkah indah jika segala pengorbanan kita itu terus dihubungkan kepada Allah...contohnya dalam berkhidmat untuk suami beserta niat yang ikhlas tanda syukur kerana dikurniakan seorang pembela di kala suka dan duka...juga rasa syukur suami kepada Tuhan kerana dikurniakan seorang isteri yang memahami..menasihati dalam segala perkara..dalam masa yang sama bersama2 mengejar cinta Ilahi..

Cuba semak rumah tangga kita yang dibina selama ini adakah telah mencapai cinta tahap pertama??adakah rumah kita diiisi dengan alunan bacaaan Al-quran setiap hari? Adakah rasa untuk bersama2 mendalami ilmu agama sesama ahli keluarga? Hidupkah amalan berpesan2 kepada kebenaran dan kesabaran?..timbulkah rasa hormat kepada sesama ahli dan rasa kehambaan kepada Allah? mungkin banyak lagi contoh yang boleh kita guna untuk menjadi kayu ukur sejauh mana tahap cinta kita..

Ayuh bersama2 kita tingkatkan rasa cinta kita itu..bagi pasangan yang belum berkahwin tingkatkanlah tahap cintamu dengan menjaga kesuciannya daripada dinoda oleh sms,perbualan dan perjumpaan yang sia-sia dan menjadi bunga2 zina..tunggulah hingga tiba masanya...sesungguhnya Allah bersama2 dengan orang yang sabar..

Sunday, February 20, 2011

Salam

Inilah persinggahan sementara eden ke blog yang dah bersawang ni..lamo dah tidak berkongsi ilmu..kali ni den nk kongsi ilmu ceramah maulidurrasul ket surau td..sikit jo...tentang salam..

Salam ni suatu perkara yang mulio..asal nama Islam pun dari perkataan salam dan salam ni ada 4 jenis cara menurut ibnu 'Abbas..iaitu salam orang Yahudi, orang Nasrani, orang Majusi dan terakhir sekali adalah salam Rasulullah sollalahu 'alaihi wassallam...ramai antara kita yang masih mengamalkan salam Yahudi, Nasrani dan Majusi tanpa kita sedari..agak2 macam mane ye salam diorang ni?...(ce cite..hee)

Salam yang pertama, iaitu cara orang Yahudi adalah apabila mereka bersalam, mereka akan cepat menarik kembali tangan yang dihulur..teringat lak zaman den tadika dulu..kena marah dengan cikgu sebab den tarik cepat tangan lepas salam...tapi tak pernah plak cikgu den bagitau kenapa..rupa2nya itu salam orang Yahudi...sejak tu den tak buat dah..terima kasih cikgu tadika den..

Orang Nasrani pula apabila mereka bersalam mereka tidak memandang orang yang disalami..macam tak ikhlas je salam..serupo jo dengan orang Majusi..bezanya orang Majusi ni diorang akan bercakap dengan orang lain apabila bersalam..kalau cakap dengan orang yang disalam tu tak pe la jugo..ini tak..tangan poei ke len muko poei ke orang len..memang nak taknak je salam tu..

Akhirnya adalah salam Rasulullah s.aw (bila dengar nama nabi s.a.w kita kna bselawat, klu x kita la org paling sombong dan kedekut atas muko bumi ni...sdgkn nabi nk wafat pun ado jugo sbut2 namo kito..umatku..-inila slalu pesan den kt anak murid)...salam yang harus kita contohi...sunnah yang mudah dan tanda kita ni kasih kat nabi..caranya ada 3 step:

1. genggam erat tangan orang yang disalami
2. pandang muko dio
3. senyum kat dio..(bukan buat muko org pecah rumah, bak kato ust penceramah td)

senang je kan..tak susah mane pun..3 step je..genggam, pandang dan senyum...so, jom kita amalkan salam Rasulullah s.a.w...kerana dia adalah role model kita sebagai umat Islam...wallahua'lam..

p/s: jangan jadi Yahudi atau Nasrani mahupun Majusi..takut2 kita dibangkitkan bersama mereka di akhirat kelak sebab cara salam kita je...biarlah kita bangkit bersama2 Rasulullah s.a.w..insan yang telah dijanjikan syurga.

Friday, January 21, 2011

Solat Guna Hati, Bukan Otak..


Tajuk entry kali ini adalah petikan kata2 daripada seorang pengkaji tentang solat dan kelebihannya..kata-kata yang membuat hati ini terketuk setelah sekian lama lalai di dalam solatnya..sukar untuk mendapatkan khusyuk kerana bisikan-bisikan di minda sering menyerang..

Kenapa tidak perlu guna otak?..sebab sebelum ini ku cuba pelbagai cara..salah satunya adalah membayangkan diri sedang berada di neraka dan berdoa bersungguh2 ingin keluar daripadanya..tapi ianya tak bertahan lama..kerana bayangan minda itu sering diganggu oleh pemikiran2 terhadap perkara2 lain..namun, jawapan yang diterima olehku daripada Ustaz Pak Abu Sangkan dalam program 'Solat Is Best' di Masjid Kanchong Darat, Banting amat memuaskan hati...


Otak manusia merupakan suatu organ yang mudah teruja dengan perkara2 baru...tapi kelemahannya adalah cepat bosan dan jemu jika sesuatu itu dilakukan berulang kali..sebab itu ramai yang melakukan solat sekadar 'melepaskan batuk di tangga'..kerana solatnya hanya menggunakan OTAK dan bukannya HATI..

Hati merupakan kurniaan Tuhan yang berharga buat manusia..ia tidak mudah jemu..ibarat seekor ibu helang yang tidak jemu melayan kerenah anaknya..terbang beribu batu untuk mencari sesuap makanan untuk anak-anaknya..kerana dia menjaga dengan menggunakan HATI bukannya OTAK..hati yang dikurniakan rasa kasih dan sayang yang berlawanan dengan logik dan jemu..


Ia juga raja bagi tubuh manusia..'raja' yang berkuasa menggerakkan 'rakyat'2nya..andai ia 'raja' yang taat dan patuh pada Allah dan RasulNya, nescaya ia akan membawa 'rakyatnya' kepada kebaikan..begitu juga sebaliknya..bertepatan dengan maksud hadis Nabi yang membawa makna hati yang baik akan membawa kebaikan pada seluruh anggotanya..

Begitu juga dalam SOLAT..jika HATI itu hadir di dalam solat, insya-Allah seluruh anggotanya akan turut sama..matikan fungsi otak yang merupakan seorang 'rakyat' yang mudah jemu dan 'nakal' kerana sering ligat berfikir tentang perkara2 di luar solat..

Hadirkan hatimu dan tundukkan jiwamu di hadapan Sang Pencipta Yang Maha Esa..hayati segala ucapanmu di dalam solat seolah-olah dirimu sedang berdialog denganNYa..ingatlah bahawa Dia sedang mendengar ucapan2mu itu..usah sekali-kali kita menjadi seperti burung kakak tua yang bijak berkata2 tapi tidak memahami apa yang diperkatakannya..ibarat 'tin kosong yang bunyinya kuat tapi tiada isi'.. usah sia-siakan solat kita..


oleh itu, ayuh kita solat menngunakan HATI dan bukannya OTAK..

Friday, January 14, 2011

2+2=1

"bakpo jadi gitu?,"itulah lontaran pertama yang diberikan oleh seniorku di fb...ku pasti ramai lagi di luar sana yang terpinga2 dengan apa yang kuperkatakan..jika diikut logik memang tak masuk akal...silap hari bulan tak boleh jadi cikgu atau ustaz lagi..kena 'blacklist' sebab tak kuasai ilmu asas matematik..hahahaha

Tapi kita kena ingat..matematik itu indah..mampu membentuk minda yang kreatif..sebab untuk mendapatkan jawapan, kita tidak perlu bergantung pada satu cara sahaja..banyak cara yang boleh digunakan...ibarat cerita guru matematik dan anak muridnya:

cikgu: ok kelas, hari ini kita akan belajar tentang tajuk ketinggian..cuba lihat menara di sebelah sekolah kita..siapa boleh beritahu cikgu berapakah ketinggiannya?..

abu: saya tahu jawapannya cikgu..


cikgu : apa jawapannya abu?

abu: kita pergi kat penjaga menara itu dan tanya ada berapa anak tangga pada menara tersebut..kemudian, kira tinggi bagi 1 anak tangga dan darabkan dengan jumlah anak tangga yang ada..


cikgu: salah!!lagi, ada jawapan lain?


abu: saya cikgu..


cikgu: kamu lagi..cepat, jangan main2 lagi..


abu: ok..mudah je cikgu..kita naik ke tingkat atas sekali pada menara itu dan unjurkan tali ke bawah..kemudian kira berapa panjang tali tu..

cikgu: salah!!lain kali jangan main2..gunakan prinsip yang cikgu ajarkan..

abu: ok..guna nisbah..ambil sebatang pensel dan jangka sudut..letakkan pensel pada kedudukan sehingga kelihatan setinggi menara jika dilihat dari bawah..ukurtinggi pensel serta jarak dari pusat jangka sudut ke pensil dan ke menara..gunakan teorem pitagoras (tan) dimana tan sudut= tinggi pensil/jarak pusat jangka sudut ke pensil...nisbahkan jarak pensel dengan jarak menara serta tinggi pensel dengan tinggi menara..kita akan dapat jawapannya..

cikgu: bagus..ini barulah apa yang cikgu ajar...kenapa tak jawab dari tadi sampai cikgu marah2?

abu: maaf cikgu...jawapan saya sebelum ini pun boleh dapat tinggi menara tu juga dan aplikasinya juga lebih mudah..cuma tidak mengikut skema pembelajaran je..


cikgu: hurm...(hanya mampu tersenyum malu sambil merenung kebenaran kata2 anak didiknya)..



bukan menara je, tinggi kapal terbang pun kita boleh kira..hehe

itulah keindahan matematik..jua tanda keindahan ilmu Allah..
biar ku uraikan simpula persoalan yang bermain di kepala semua pada persamaan 2+2=1 ini..
ia bukan kisah 4 orang isteri yang berkahwin dengan seorang suami dan tinggal sebumbung, bukan jua seorang isteri yang dipilih daripada 4 orang calon..tapi itulah tempoh waktu yang ku punya kini..
telah genap 2 minggu..tinggal 2 minggu lagi kerana ku hanya diberi kesempatan oleh Allah hanya sebulan untuk bersama mereka....

semoga mereka akan pejuang agama dalam apa jua bidang kelak..semoga saham yang kulaburkan selama sebulan akan berkekalan hingga hari akhirat walau setelah ketiadaanku di atas muka bumi ini..amiin..

Monday, December 20, 2010

jalan-jalan memerhati

Hujan renyai-renyai bertukar lebat petang semalam...namun ianya tidak membatalkan niatku dan ayah untuk ke pekan banting untuk membeli barang...pada mulanya kami ke bank Islam untuk memasukkan duit..ketika mengambil nombor giliran tidak disangka banyak pula nombornya walaupun hujan lebat ketika itu..takpe, sabar itu sebahagian daripada iman..

Sambil menunggu giliran kami melihat2 pengunguman di softboard..mak aih, terkejut juga aku membacanya...wujud juga benda begini..ada taktik sesetengah kumpulan yang suka menukar kad bank ketika kita mengeluarkan duit..modus operandinya amat mudah...dia akan hampir dengan kita dan menepuk bahu sambil mengatakan ada wang atau barang terjatuh..(mungkin dia umpan dengan RM1@RM10)..bila kita tunduk nak ambil duit tersebut, mereka akan menukarkan kad kita dengan kad orang lain..kita pun dengan selambernye dan tanpa segan silu memasukkan kad orang lain tersebut dalam beg duit dan mengambil duit yang dikeluarkan..maka, berhati-hati!! anda mungkin orang yang selamber dan tiada segan silu itu..

AWAS!!!

Perjalanan diteruskan lagi ke pasaraya Econsave yang baru sahaja mendapat anugerah 'harga patut 2010'..ketika mencari-cari daging hot-dog, daku didatangi oleh orang insurans..takaful etiqa yang sekarang ini telah diambil alih oleh maybank daripada PNB..mula-mula die offer tuk ambil insurans..tapi bila mulut baik ni main-main tanye ada kerja kosong ke tidak, terus kena tarik suruh dengar ceramah bos die..bagus juga..dah lama jadi penanam anggur pun..haha

Penuh bersemangat mereka menyambut kehadiranku...hingga 4-5 orang berada di kelilingku..tapi semuanya lelaki...sadis sungguh, huhu..mula-mula dia keluarkan satu kertas kosong..kemudian dia bertanya tentang nama dan umurku...sebaik sahaja aku menjawab terus dia menyalin jawapan yang diberi..."skema betul bro ni," getus hati kecilku..haha..lalu persoalan lain diajukan seperti tinggal di mana, dah bekerja ke belum dll..tapi tak pula dia salin..ingatkan nak salin semua tadi..(jahat juga bisikan hati ni, jaga2)..dia sambung lagi tentang komisyen dan bonus sambil diiringi senyuman...

Terasa tertarik juga dengan penerangan tadi...tapi ayahku berpesan tak payah ambil kerana ia telah berada di bawah maybank di mana ada unsur syubhah di situ..so, tak jadila nak join...tapi sekurang-kurangnya ada juga yang dapat kupelajari daripada bro tadi..ia di panggil ilmu guna-guna..(bukan ilmu sihir tu, tapi ilmu komunikasi berkesan..hehe)..

Antara ilmu guna-guna tersebut adalah:

1) senyum- itulah sedekah yang paling mudah Nabi s.a.w ajar pada kita..lagipun hati yang resah terasa tenang dengan senyuman,..tapi syaratnya kena ikhlas..jika tidak, tak menjadila..

2) nama panggilan- kita kan berasa lebih mesra jika orang yang berbicara dengan kita menggunakan nama panggilan kita..rasa macam dah lama kenal je..(sebab tu dia salin nama aku tadi)..

3) memetik contoh/ isu yang sesuai- kita akan lebih mudah faham jika begitu..(ini pula sebab dia salin umur aku)..

4) yakin- jika kita bercakap dengan yakin, hujah yang salah pun boleh jadi betul...(inilah teknik yang lawyer amalkan)

Sebenarnya banyak yang kita boleh pelajari walaupun dengan hanya keluar shopping..so, jangan jadi orang selamber yang tertipu dan amalkanlah ilmu guna-guna...renung2kan dan selamat beramal..

ni la hasil kerja aku..hehe

Wednesday, November 17, 2010

Korban Kasih


Hari raya raya haji jua dikenali dengan hari raya korban..peristiwa pada hari tersebut adalah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Ismail a.s....

Nabi Ibrahim a.s sanggup korbankan kasih dan sayangnya kepada anaknya Ismail a.s semata-mata mengharapkan redha Allah...Nabi Ismail a.s pula membenarkan mimpi yang merupakan wahyu daripada Allah ke atas bapanya..dia pasrah dan redha atas ketentuan Tuhannya...sungguh menyayat hati...dua insan yang saling menyintai meletakkan cinta tertinggi hanya pada Allah..kerana redha Allah itu adalah segalanya dalam kehidupan ini..cinta mereka terus Allah balas di dunia dengan di gantikan Ismail a.s dengan seekor kibas..sedang balasan cintaNya di akhirat lebih daripada itu..subhanallah..


Kisah ini sudah selalu kita dengar..namun adakah kita mengambil iktibar daripadanya?
ibarat ada ada hendset yang berkepuk dengan kredit kredit tapi tak 'call' atau SMS rakan2 mahupun keluarga..ia hanya digunakan untuk bermain 'game' mahupun melayari internet....ilmu yang ada harus diamalkan sebaiknya...

Antara iktibar yang boleh diambil adalah korban kasih..iktibar yang harus diambil oleh muda-mudi yang asyik bercinta..korbankan rasa kasih pada pasangan yang belum halal buat kita itulah yang sebaiknya..korbankan rasa ingin selalu bersama, saling berpandangan mahupun berpegangan...korbankan rasa itu sebentar sebelum hari yang dinanti itu tiba, pernikahan..

Mungkin ramai yang berfikir bagaimana ingin mengenal budi dan hati pasangan andai tidak selalu keluar bersama...tetapi pernahkah anda fikir, adakah anda telah benar2 mengenali pasangan anda setelah keluar bersama?..mahupun selepas 24 jam bermain kata melalui SMS?..mungkin anda mampu mengenali si dia, tapi hanya pada luarannya sahaja..sikap yang sebenar akan muncul setelah duduk sebumbung..selepas badai ujian datang melanda...seusai kemarau mehnah melintasi rumah tangga..

Selagi belum melalui itu semua usah mengaku anda telah benar2 mengenali si dia..hanya zahir sahaja yang terlihat..bukan tersurat...oleh itu, jagalah kehormatanmu dan kehormatannya kerana itu lebih baik bagimu..cukuplah mengenali pasangan melalui orang tengah mahupun rakan atau kerabat terdekat dengannya..letakkan Kasih dan redha Allah itu sebagai perkara yang tertinggi dalam hidup ini...belajarlah daripada kisah Ibrahim dan Ismail a.s tadi..sanggup korbankan nyawa orang yang dikasihi demi cinta tertinggi, cinta Ilahi...kerana DIAlah Pemilik Segala Cinta..Dia yang memberikan cinta dan Dia yang menyuburkan cinta..

Berdoalah agar rasa cinta yang dikurniakan di antara dirimu dan si dia akan dipandu oleh cintaNya..dibatasi oleh syariatNya...agar tidak jatuh ke jurang neraka yang bisa mengundang kemurkaanNya..korbankanlah kasihmu demi menggapai redhaNya..sedang pengorbananmu itu hanya seketika hingga waktu yang dijanjikannya tiba..kemanisannya pasti terasa selepas itu kerana rahmatNya akan sentiasa bersamamu dan si dia..

Korbankanlah kasihmu demi kasihNya...

Friday, October 22, 2010

Hari bersejarahku = hari yang kutakuti

Semalam adalah hari jumaat..penghulu segala hari buat umat Islam seluruh dunia...jua hari raya mingguan bagi umat Islam..sebab tu kita tak digalakkan berpuasa sunat mutlak pada hari jumaat...semalam jua adalah hari bersejarah buatku.


Itulah hari terakhir buatku bergelar guru..datangku disambut dengan senyuman...pulangku dirai dengan jamuan ringan...aku mungkin akan menyambung kerjaya guru di masa akan datang..borang KPLI pun sudah penuh terisi..andai tiada jodoh di alam pendidikan, paling tidak ku berharap dapat menjadi guru terbaik untuk anak2 dan pasangan hidup..persediaan untuk itu harus lebih lagi..kerana ibu bapa adalah guru pertama untuk setiap anak2 yang dilahirkan ke dunia..

Hati ini terasa sayu apabila melihat anak2 didik yang ditinggalkan..mampukah mereka menjawab soalan peperiksaan yang akan berlangsung Isnin depan berbekalkan ilmu yang ku ajarkan?adakah diriku akan dipersalahkan jika prestasi mereka menurun?..


Runsing rasanya apabila difikirkan...tapi bila diaamati ada perkara yang harus lebih dirunsingkan pada mereka..mereka adalah pemimpin masa depan...merekalah pejuang agama dan bangsa..mereka adalah produk yang kita hasilkan..andai kita salah mencorakkan mereka, hancur-punahlah negara dan rosaklah agama..

Takutnya diriku jika ketika mereka melakukan kerosakan di muka bumi, diriku ini yang akan dipersalahkan...gentarnya hatiku jika mereka menjadi penyebab diriku diseret ke neraka..hanya kerana aku tidak mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia penuh cabaran yang melampau...terlalu ramai musuh yang ingin menjatuhkan mereka...musuh yang ingin melihat mereka lalai dan leka dengan dunia dan kemewahan...musuh yang ingin memisahkan agama daripada kehidupan...musuh yang memecah-belahkan umat Islam...juga musuh yang bercita-cita untuk menghancurkan Islam...mampukah mereka menghadapi semua itu?


Aku hanya mampu berharap..semoga mereka menjadi insan berguna kelak..menjadi pemimpin yang menjaga kebajikan rakyat...menjadi pejuang agama yang mendaulatkan Islam melebihi segala perkara..menjadi rakyat yang celik mata hatinya dan berani menegur orang atasan..menjadi ibu bapa terbaik untuk anak-anaknya..kerana itu semua akan menjadi saham ku di akhirat..selagi ilmu yang disampaikan terus dimanfaat..


semoga hari yang ku takuti akan berubah menjadi sinar kebahagiaan di akhirat kelak..amiin..



Friday, October 8, 2010

Mereka atau Kita yang kebudak-budakan?

Hari ini aku melangkahkan kaki ke kelas seperti hari-hari biasa..memulakan kelas dengan doa dan sapaan khabar kepada murid-murid..ada yang selesema dan ada juga yang tidak hadir..namun itu tidak mematahkan semangatku untuk mengajar pada hari ini..



Item yang diajar amat mudah..postur menyanyi ketika duduk mahupun berdiri...namun biasalah, apabila berhadapan dengan kanak-kanak ia menjadi mencabar sedikit...perlu disuruh satu-persatu...daripada A-Z baru mereka faham..hatta tarikh hari ini pun guru yang kena tukarkan..itulah cabaran buat pendidik..insan yang perlu membentuk buluh daripada rebungnya selepas ibu bapa..


Semasa mengajar daku melihat reaksi mereka...ada yang terhibur...ada yang buat muka bosan...mungkin tidak berminat dengan topik pembelajaran hari ini atau caraku tidak memenuhi selera mereka..ada juga yang lebih gemar bermain2..lantas ku panggil beberapa daripada mereka yang bermain itu ke hadapan dan mempraktikkan apa yang telah ku ajar..ternyata mereka masih mampu melakukannya walaupun tidak sempurna..

Namun salah seorang daripada mereka hanya mampu tercegat di hadapan rakan-rakan lain dan diam membatu..dia menundukkan kepalanya dengan riak muka ingin mengangis..ditambah pula dengan ejekan rakan2 sekelas yang lain..menambahkan lagi apa yang terpendam di jiwanya...lalu ku memaksanya untuk menyanyi..dia tetap berdegil walaupun telinganya telah sedikit kemerahan ku tarik..ego dalam dirinya terlalu tebal sehingga apabila ku suruh duduk dia tetap berdegil..seolah-olah meluahkan rasa marah kepadaku dengan melakukan perkara yang berlawanan daripada suruhanku..ku hanya biarkan dia berdiri sehingga kelas tamat..


Setibanya di rumah baru ku terfikir..itulah fitrah kanak2..alam mereka berbeza dengan kita..bermain dan berseronok adalah perkara utama dalam hidup mereka..kitalah yang harus memimpin mereka dalam membezakan waktu belajar dan bermain..memimpin dengan lembut, ibarat menarik rambut di dalam tepung..tidak boleh rentap sesuka hati kerana nanti tepung berterabur dan rambut pun putus.. usah ego dilawan ego kerana mereka tidak akan mengalah..kitalah yang perlu mengalah..kerana buluh bukan senang dilentur..perlukan masa yang lama..

Ingatlah bahawa mengalah bukan bererti kalah..pasti ada sinar kejayaan yang menanti di masa hadapan...semoga kita mampu menjadi orang dewasa yang memahami jiwa kanak2 dan membentuk mereka menjadi kanak2 yang cemerlang..insya-Allah..

Monday, August 30, 2010

Diari Seorang Guru





Hari ini hari kedua aku memulakan kerjaya sebagai seorang guru...berpakaian formal dan bertali leher mengimbau kembali kenangan melakukan pembentangan tesis di hadapan rakan2 sewaktu di universiti suatu masa lalu.

Sedikit perkongsian buat teman2 yang mungkin berminat mahupun ingin tahu lebih lanjut kehidupan seorang guru...terutamanya guru baru sepertiku..


Ternyata profesyen seorang guru ini tak semudah yang disangka...masih banyak yang perlu dipelajari..masih luas lautan pengalaman hidup yang harus ku terokai..namun aku bersyukur kerana dibantu oleh guru-guru lain yang juga merupakan guru-guruku sewaktu aku kecil dahulu..kerja2 mengisi borang kedatangan pun perlu dipelajari kerana ada kiraan tersendiri..

Soal mengajar pula lain ragamnya..walaupun perkara yang kita ajar semudah ABC, namun menerangkan kepada puluhan akal yang memiliki tahap pemikiran berbeza dalam sesebuah kelas memerlukan kesabaran yang tinggi dan kesungguhan..sebagai seorang guru, kita harus menggunakan 1000 cara sebagai usaha untuk memberi kefahaman pada setiap murid..andai 1000 cara ini gagal, maka gunakan 1001 cara..usah sesekali tunjukkan riak wajah penat dan berputus asa pada murid-murid..kerana jika kapten kapal berputus asa, siapa yang akan mengawal para kelasi untuk mengemudi kapal?..maka kita perlu sentiasa optimis dalam menghadapi pelbagai situasi..dan jangan lupa berdoa pada Tuhan Yang Maha Bijaksana, agar diberikan kefahaman kepada murid-murid.


Itulah apa yang aku pelajari...sedikit teguran daripada guru lamaku membuat akal ini berfikir sejenak..masih terngiang2 lagi ditelinga.." bagi mereka peluang..memang kita inginkan yang terbaik, namun berilah peluang untuk mereka"..betul tu..kata-kata ini juga berkait dalam kehidupan seharian kita..berilah peluang pada orang lain untuk melakukan yang terbaik..sebab tiada manusia yang sempurna di dunia ini..jangan terlalu berharap yang terbaik daripada orang lain tapi berilah yang terbaik kepada orang lain..erti hidup pada memberi bak kata Ust Hasrizal Jamil..

Namun perkara yang paling seronok adalah kita dapat lihat kembali imbasan masa lalu kita di alam persekolahan..kadang-kadang tergelak sendirian bila melihat telatah mereka kerana kita melihat diri kita pada suatu masa dahulu..berkejar-kejar dengan rakan, mintak izin ke tandas sambil pakai pas keluar kelas, main sos dalam buku kotak2..itulah masa laluku..perkara sebeginilah yang sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa letih semasa mengajar..

Akhir sekali adalah niat kita..adakah kita mengajar semata2 kerana kerja mahupun minat?..itulah soalan pertama yang dilontarkan oleh guru besar kepadaku waktu mula-mula aku menjejakkan kaki ke sekolah...bagi aku mudah sahaja..ikhlaskan niat kerana Allah, jalankan amanah yang diberi sebaik mungkin..insya-Allah apabila ikhlas, hati akan tenang walau ada ujian melanda dan dengan izin Tuhan Yang Maha Esa, tugasan mengajar itu akan menjadi mudah..

Semoga aku dan dirimu bisa menjadi guru yang bakal melahirkan ribuan guru yang punya peribadi jitu..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Wednesday, July 21, 2010

Cintakan Allah & Cinta kerana Allah I





Satu tajuk yang menarik untuk dikongsi..apatah lagi bila berkaitan dengan cinta..pasti ramai yang teruja..tapi bak kata seorang teman di FB, benarkah kita cintakan Allah? Benarkah segala yang kita cinta di atas dunia ini semata-mata kerana Allah?

Jika benar kita cintakan Allah, apa buktinya? cukupkah sekadar solat 5 waktu yang kadang2 tak penuh sehari semalam & yang kadang2 nak habis waktu baru kita kerjakan?cukupkah sekadar dengan menunaikan rukun Islam yang lima sedangkan rukun Iman yang enam masih tak lengkap lagi?..haha..sungguh banyak persoalan untuk membuktikan cinta kepada Allah..tapi itulah hakikat hamba yang seharusnya menyintai tuannya yang juga menciptakan dirinya...maka seharusnya cinta yang sepatutnya adalah sepenuh jiwa hingga sanggup berkorban nyawa..cinta yang tiada penghujungnya..

Amalan yang diwajibkan ke atas kita, mampukah ia menjadi jambatan penghubung cinta kita kepada Allah?

Andai cukup syarat serta rukun mengerjakannya, ia cukup untuk melepaskan kita daripada tanggungjawab...namun jika tiada keikhlasan dihati, bagaimana kita ingin menjamin ia akan diterima Allah?..perlu diingat bahawa keikhlasan itu takkan wujud tanpa cinta..ibarat ikhlas menolong ibu bapa..mesti didahulukan cinta kepada mereka...begitu jugalah jika ingin ikhlas menunaikan cinta kepada Allah..harus ada cinta yang tiada berbelah bahagi kepada Si Dia, Sang Pencipta.

Cinta boleh dipupuk
....macam orang2 dahulu yang bercinta selepas kahwin..cinta hanya dipupuk selepas kahwin kerana mereka berkahwin atas pilihan keluarga dah masih belum mengenali hati masing-masing..pelbagai cara ang dilakukan untuk memupuk cinta seperti memasak bersama, berkongsi cerita sebelum tidur dan lain-lain lagi..pendek kata, semuanya dilakukan bersama..begitu jugalah jika ingin memupuk cinta kepada Allah, harus merasakan Allah sentiasa bersama-sama kita..Dia melihat dan memerhatikan tiap gerak laku kita..


Selain itu, banyakkan menyebut namaNya seperti kita selalu menyebut-nyebut nama orang yang kita cintai dan memuji mereka..sedangkan Allah yang lebih layak dipuji dan dipuja kerana segala nikmat yang kita dapat datang daripada Dia..namun jangan lupa juga berselawat, jika tidak samalah kita dengan bani Israel.. kerana Bani Israil turut mengakui kewujudan Allah namun menafikan kewujudan Nabi Muhammmad s.a.w.

Usaha lain yang boleh dilakukan adalah banyakkan amalan sunat..kerana selain menampung amalan wajib, amalan sunat inilah yang membantu untuk kita lebih dekat dengan Tuhan..ia boleh diibaratkan dengan mee goreng..mee itu adalah kewajipan yang kita kerjakan..rasanya adalah keikhlasan yang kita lahirkan..dan bagaimana mee itu dihias dan dipersembahkan itulah amalan sunat..jika tak cantik dan rasanya tak sedap pun ia masih di panggil mee goreng..namun, mungkin pelanggan akan menolaknya..jika rasanya sedap, pasti pelanggan akan memujinya..apatahlagi jika persembahannya baik dan rasanya sedap sudah pasti kita jatuh cinta dan takkan beli mee goreng daripada kedai lain..begitu jugalah ingin meraih cinta Allah..andai Dia cintakan kita, insya-Allah Dia akan semaikan benih cinta kepada Dia dalam hati kita..cinta Allah itulah cinta yang abadi..


Itu baru cinta kepada Allah, bagaimana cinta kerana Allah?..fikir2kanlah..
(bersambung di siri akan datang-Cintakan Allah & Cinta kerana Allah II)